PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Grab Holdings Inc. (Grab), Anthony Tan bersama delegasi syarikat itu petang tadi.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman media sosial, beliau berkata, beberapa perkara dibincangkan termasuk pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95) yang memberi manfaat terus kepada pemandu e-hailing.
“Langkah ini bukan sahaja meringankan beban, malah memperkukuh peranan sektor e-hailing sebagai komponen penting dalam sistem pengangkutan awam negara,” katanya.
Anwar berkata, beliau turut menekankan kepentingan peranan syarikat multinasional besar seperti Grab yang mempunyai kapasiti untuk menyokong pembangunan ekonomi.
“Ini termasuk penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan pembangunan kapasiti berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Menurutnya, kerajaan mengalu-alukan komitmen dan inisiatif yang dilaksanakan syarikat itu supaya kebajikan pemandu serta penunggang Grab terus terjamin.- KOSMO! ONLINE.