PETALING JAYA – Pergerakan Pemuda UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan Tentera Pertahanan Israel (IDF) yang memintas serta menahan Global Sumud Flotilla, termasuk warganegara Malaysia dan aktivis antarabangsa, ketika mereka dalam misi kemanusiaan menghantar bantuan ke Gaza.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, tindakan Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa di bawah Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS 1982) yang memberi hak kebebasan belayar kepada semua kapal awam di laut lepas.
“Flotila ini adalah kapal sah dengan misi kemanusiaan. Tindakan Israel memintas di perairan antarabangsa adalah tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, halangan terhadap bantuan kemanusiaan juga bertentangan dengan Konvensyen Geneva 1949 dan Protokol Tambahan I (1977) yang menuntut semua pihak membenarkan penghantaran bantuan kepada orang awam tanpa halangan.
Tambahnya, Kerajaan Malaysia diseru supaya mengeluarkan bantahan rasmi melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta menggerakkan usaha diplomatik mendesak keselamatan dan pembebasan segera warganegara Malaysia yang ditahan.
Katanya, Pemuda UMNO menggesa penubuhan siasatan antarabangsa bebas serta meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa meneliti tindakan Israel sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
“Kita mengecam keras tindakan tidak berperikemanusiaan, tidak sah di sisi undang-undang dan penuh penghinaan ini. Menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza hanya memburukkan lagi krisis kemanusiaan serta memperlihatkan sikap angkuh yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.
Dr. Akmal turut menyeru rakyat Malaysia mendoakan keselamatan semua aktivis termasuk 13 warganegara Malaysia, 12 daripadanya kini ditahan IDF, agar mereka dibebaskan segera dan selamat pulang. – KOSMO! ONLINE