fbpx
HAKIM

Peluang Hakim Danish tambat hati penaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PRESTASI cemerlang sahaja tidak mencukupi dan itulah realiti perlu dihadapi pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli apabila impiannya beraksi sepenuh musim dalam Moto3 tahun depan kini bergantung kepada sokongan dana daripada penaja.

Meskipun mempamerkan aksi membanggakan dengan menamatkan saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di kedudukan ketiga terbaik keseluruhan, hala tuju Hakim masih samar selagi tiada pihak korporat tampil menghulurkan bantuan kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya bersama ZK Racing kini bertungkus-lumus mengadakan rundingan bagi memastikan bakat besar Hakim tidak terhenti di pertengahan jalan.

“Dari dulu sampai sekarang, saya selalu tekankan prestasi adalah nombor satu. Sebelum mana-mana pihak nak melamar Hakim atau Qabil Irfan (Azlan), mereka akan tengok prestasi dahulu.

“Alhamdulillah, tahun ini bukan saja Hakim, malah Qabil juga tunjukkan aksi membanggakan. Untuk Hakim, kami berharap dia dapat peluang beraksi penuh semusim dalam Moto3 tahun depan,” katanya.

Menurut Azhan, prestasi cemerlang Hakim dalam baki dua pusingan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) akan menjadi ‘modal’ penting untuk meyakinkan bakal penaja walaupun bergelut dalam saingan JrGP dan kini berada di tangga kesembilan.

“Setakat ini kita sudah berbincang dengan beberapa pihak untuk menyokong. Kalau baki dua pusingan ini berjaya naik podium dan terus tunjuk prestasi cemerlang, peluang itu cerah.

“SIC dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memberi sokongan kepada perjalanan Hakim tetapi dari segi dana masih belum ada kepastian daripada pihak kami dan juga KBS.

“Ini adalah seruan kepada semua syarikat korporat di luar sana, sesiapa yang ingin menyokong Hakim untuk menyambung perlumbaan di MotoGP tahun depan boleh berhubung dengan kami,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN