fbpx
MARTIN mengalami keretakan tulang selangka kanan akibat kemalangan ketika perlumbaan sprint GP Jepun minggu lalu. - AFP

MotoGP: Martin terlepas aksi GP Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOKYO – Pelumba sensasi Aprilia, Jorge Martin terlepas untuk turun bersaing di Grand Prix (GP) Indonesia di Litar Antarabangsa Mandalika hujung minggu ini berikut kecederaan yang menimpanya sewaktu perlumbaan sprint di Motegi, Jepun minggu lalu.

Bagaimanapun, juara dunia MotoGP musim lalu itu selamat menjalani pembedahan di Sepanyol akibat keretakan tulang selangka kanan dan kini dirawat di hospital.

Aprilia dalam satu kenyataan mengesahkan pembedahan untuk merawat keretakan tersebut dijalankan kelmarin di Hospital Universitari Dexeus, Barcelona oleh pasukan perubatan yang diketuai Dr. Xavier Mir.

“Pada Ahad lalu, Jorge (Martin) telah kembali ke Sepanyol untuk menjalani pembedahan yang jalankan pada Selasa pagi.

“Tempoh pemulihan akan dinilai dalam beberapa hari ini nanti, namun bergantung kepada perkembangannya selepas pembedahan. Seperti yang dibenarkan oleh peraturan, Martin tidak akan digantikan untuk GP Indonesia,” kata Aprilia dalam satu kenyataan semalam.

Insiden kecederaan keempat yang dialami pelumba berusia 27 tahun itu terjadi pada GP Jepun di Litar Motegi selepas terlibat dalam kemalangan di selekoh pertama.

Ketua pasukan Aprilia, Massimo Rivola menyifatkan insiden itu sebagai satu ‘kesilapan percaturan yang serius’ semasa membrek yang menyebabkan Martin terbabas lalu melanggar rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi.

Dengan siri kecederaan tersebut, Martin mungkin tidak diturunkan dua pusingan perlumbaan berikutnya di Phillip Island dan Sepang.

Jika terpaksa berehat lebih satu perlumbaan, Aprilia dijangka meletakkan pelumba gantian seperti Lorenzo Savadori yang pernah mengisi kekosongannya sebelum ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN