KANGAR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengecam tindakan rejim Zionis menahan dan menghalang sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah bahawa tindakan tersebut adalah tidak wajar sama sekali.
“Lebih mendukacitakan lagi sekiranya sukarelawan terlibat diperlakukan dengan cara yang tidak sewajarnya.
“Tindakan ini jika benar, jelas bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan prinsip hak asasi manusia,” titah baginda dalam kenyataan di sini hari ini.
Baginda bertitah, seluruh dunia sedang mengikuti rapat perkembangan semasa di Gaza yang kini menjadi perhatian semua pihak, khususnya berkenaan tindakan rejim Zionis menahan beberapa sukarelawan kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Palestin.
Titah baginda, seluruh masjid di Perlis melaksanakan bacaan Qunut Nazilah sejak 8 April lalu sebagai tanda solidariti dan doa kepada rakyat Palestin.
“Sayugia MAIPs menyeru agar umat Islam, khususnya rakyat Perlis terus memperteguhkan doa, memperbanyakkan amal soleh serta bersatu hati dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ditindas,” titah baginda.
Baginda bertitah, MAIPs juga menyeru seluruh dunia tanpa mengira bangsa, agama dan negara agar berusaha sedaya upaya memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada rakyat Palestin dengan selamat.
Titah baginda, usaha tersebut juga perlu dipastikan dilakukan tanpa sebarang sekatan atau penindasan demi menyelamatkan nyawa dan meringankan penderitaan rakyat Palestin.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, kesabaran dan kemenangan kepada umat Islam di Palestin serta melindungi para sukarelawan yang berjuang demi kemanusiaan,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE