PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan kes kematian seorang murid di sebuah sekolah di Negeri Sembilan semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, proses bedah siasat masih berjalan dan pihaknya menunggu hasil siasatan lengkap sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Jika terbukti wujud unsur buli atau salah laku, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil,” tegasnya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Menurut beliau, KPM kini melaksanakan intervensi psikososial bagi memberikan sokongan emosi dan mental bukan sahaja kepada murid, tetapi juga guru serta seluruh warga sekolah yang terkesan dengan insiden tersebut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di tandas lelaki sebuah sekolah kebangsaan di Seremban tengah hari semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 1.19 petang mengenai kematian mangsa yang disahkan doktor ketika menerima rawatan di Radhiyah Healthcare Sdn. Bhd. – KOSMO! ONLINE.