PETALING JAYA – Dunia sekali lagi menyaksikan wajah sebenar Israel, sebuah rejim penjajah yang mengingkari undang-undang, tidak menghargai nyawa manusia dan sanggup menindas misi bantuan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kapal-kapal tersebut membawa sukarelawan dan bekalan penting untuk rakyat Palestin yang menderita akibat sekatan zalim.
Namun, katanya mereka berdepan intimidasi, kekerasan dan paksaan dan beliau mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan itu.
“Misi ini adalah simbol solidariti, kasih sayang dan harapan dunia terhadap Palestin. Tindakan Israel bukan sahaja satu bentuk kezaliman terhadap rakyat Gaza, tetapi juga penghinaan terhadap suara kemanusiaan sejagat.
Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Malaysia akan menggunakan segala saluran sah bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya berkaitan keselamatan warganegara kita. Keselamatan mereka adalah keutamaan dan dalam hal ini, kita tidak akan berkompromi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri mengikuti rapat perkembangan misi itu sejak awal, malah turut berhubung dengan wira-wira kemanusiaan Malaysia.
“Saya tahu dugaan mereka amat besar, cabaran yang dihadapi tidak mudah. Namun doa seluruh rakyat Malaysia sentiasa bersama mereka. Semoga Allah SWT melindungi dan mengurniakan kekuatan untuk mereka meneruskan misi mulia ini,” katanya.
Tambahnya lagi, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Palestin sehingga keadilan dan kebebasan menjadi milik mereka. – KOSMO! ONLINE