fbpx
Anwar Ibrahim. Foto Ihsan Media Sosial

Israel halang flotila, Malaysia akan ambil tindakan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa orang awam tidak bersenjata serta bekalan kemanusiaan penting untuk Gaza.

Beliau berkata, tindakan zalim rejim itu jelas menunjukkan sikap tidak hormat Israel bukan sahaja terhadap hak rakyat Palestin, malah terhadap hati nurani dunia.

“Flotilla ini melambangkan solidariti, kasih sayang dan harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terkepung. Namun ia telah berdepan dengan intimidasi dan paksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Anwar, Malaysia akan menggunakan segala cara yang sah dan berlandaskan undang-undang bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya dalam hal yang melibatkan rakyat Malaysia.

“Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah keutamaan, dan kita tidak akan membiarkan ia diperkotak-katikkan tanpa pembelaan,” katanya.

Tambahnya, selagi rakyat Palestin dinafikan hak asasi dan cita-cita mereka, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama mereka.

“Kita tidak akan berhenti menuntut keadilan dan menentang kezaliman serta perampasan hak yang menimpa Palestin sejak sekian lama,” katanya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan lapan peserta GSF dari Malaysia yang berada di kapal Alma, Sirius dan Huga telah ditahan oleh tentera Israel.

Empat peserta yang berada di atas kapal Sirius telah memuat naik video mesej kecemasan iaitu Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli.

Sementara itu di kapal Alma, tiga peserta Malaysia iaitu Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil juga memuat naik video mesej kecemasan yang sama.

Di kapal Huga, dilaporkan Zizi Kirana juga memuat naik video kecemasan bagi memaklumkan dirinya telah ditahan zionis Israel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI