PETALING JAYA – Malaysia melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menjalin kerjasama strategik dengan National Institute for Workforce Development (INDMO) Timor-Leste bagi membangunkan Indeks Latihan Nasional (NTI) pertama negara tersebut.
Ketua Pegawai Strategi HRD Corp, Dr. Rony Ambrose Gobilee, berkata pengalaman Malaysia dalam membangunkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) inklusif serta mampan menjadi asas kerjasama itu.
“Perjalanan Malaysia telah membuktikan bahawa pembangunan kemahiran inklusif adalah asas kepada pertumbuhan negara. Melalui perkongsian kepakaran bersama Timor-Leste, kita bukan sahaja dapat menguatkan hubungan dua hala malah turut menguatkuasakan visi bersama ASEAN terhadap tenaga kerja masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perjanjian itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman sempena Minggu Kemahiran Antarabangsa Timor-Leste Ke-2 di Dili baru-baru ini yang turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste, Francisco Kalbuadi Lay.
NTI merupakan mekanisme penting yang akan mengukur tahap latihan tenaga kerja, mengenal pasti jurang kemahiran serta merangka dasar untuk meningkatkan daya saing ekonomi. Malaysia sebelum ini telah mempelopori pelaksanaan NTI melalui HRD Corp.
Kerjasama itu turut merangkumi penyelidikan bersama, penerokaan sistem levi latihan serta pertukaran program pendidikan dan kepakaran melalui pasaran latihan bersama.
Beliau berkata, Timor-Leste sedang mengorak langkah berani dalam transformasi tenaga kerja dan Malaysia, melalui HRD Corp, berbangga untuk menyokong perjalanan ini, membantu membangunkan tenaga kerja yang berdaya saing, inklusif dan berhubung di peringkat global.
Inisiatif ini selaras dengan Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 dan bakal melonjakkan Timor-Leste bakal menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung Dunia Kemahiran Asia ke-10 pada 2026. – KOSMO! ONLINE