PETALING JAYA – Laman web rasmi Global Sumud Flotilla (GSF) yang menyediakan kemudahan penjejakan kapal melalui fungsi Flotilla Tracker didapati gagal berfungsi.
Difahamkan sekarang ini ruangan paparan pelayaran bot tidak lagi memaparkan sebarang maklumat meskipun laman berkenaan boleh diakses.
Tinjauan kira-kira pukul 7.15 malam pula mendapati Flotilla Tracker tersebut sudah boleh diakses, namun tiada pergerakan kapal-kapal GSF seperti sebelumnya.
Bagaimanapun, maklumat penjejakan konvoi flotilla masih boleh diakses menerusi laman alternatif dikendalikan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang memaparkan pergerakan 44 kapal dari pelbagai negara
Paparan terkini menunjukkan kapal berada sekitar 40.8 batu nautika dari Gaza dan dijangka tiba dalam tempoh lapan jam dengan purata kelajuan 5.0 knot.
Sebelum ini, maklumat terkini memaklumkan laluan kapal Mikeno tidak menepati corak pergerakan biasa dan sehingga kini status kesemua peserta masih belum dapat dipastikan. – KOSMO! ONLINE.