PETALING JAYA – Polis akan menyerahkan kertas sisatan berhubung penunggang motosikal mengejar dan menendang Perodua Myvi kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya turut menahan dua remaja lelaki berusia 16 tahun di sekitar Puchong pada semalam.
Katanya, kesemua mereka direman sehingga esok bagi melengkapkan siasatan.
“Kertas siasatan telah lengkap akan diserahkan kepada TPR pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.
Selasa lalu Kosmo! melaporkan, Muhamad Farid berkata, pihaknya menahan sembilan lelaki berusia antara 13 hingga 21 tahun berhubung sekumpulan penunggang motosikal mengejar dan menendang sebuah kereta Perodua Myvi berhampiran Plaza Tol Puchong Batu 13, awal pagi Ahad lalu.
Katanya, enam daripada suspek adalah remaja bawah umur dengan kesemua ditahan di sekitar Puchong dan Shah Alam bagi membantu siasatan.
Media turut melaporkan pada semalam, dua lagi remaja lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam insiden mengejar dan menendang kereta berkenaan. – KOSMO! ONLINE