KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim rejim Zionis Israel yang menahan sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk rakyat Malaysia ketika membawa mesej keamanan serta bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, misi tersebut adalah usaha sah di sisi undang-undang antarabangsa bagi menghantar bantuan dan solidariti kepada rakyat Palestin yang terus ditindas serta dikepung secara tidak adil.
“Tindakan tentera Zionis menahan sukarelawan ini jelas melanggar prinsip hak asasi manusia, undang-undang maritim antarabangsa dan norma kemanusiaan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
BN turut menyokong penuh langkah Kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas di peringkat antarabangsa bagi memastikan pembebasan segera semua rakyatnya yang ditahan.
Pada masa sama, BN mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara-negara OIC, ASEAN dan blok Non-Aligned Movement (NAM) agar segera menekan Israel supaya membebaskan semua sukarelawan tanpa syarat.
“Semangat solidariti kemanusiaan tidak boleh dipatahkan dengan penindasan. Para sukarelawan Global Sumud Flotilla adalah manifestasi keberanian, keinsanan dan keadilan sejagat,” tegas beliau.
BN turut menyeru seluruh rakyat Malaysia bersatu hati mendoakan keselamatan sukarelawan yang terlibat serta terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan menuntut kebebasan.- KOSMO! ONLINE.