PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau sedang menggerakkan usaha diplomatik segera bagi membebaskan sukarelawan Malaysia yang ditahan bersama aktivis antarabangsa lain oleh rejim Israel ketika menyertai konvoi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Anwar dalam satu sesi siaran langsung di Facebook berkata, sebaik menerima maklumat penahanan tersebut, beliau terus menghubungi Perdana Menteri Qatar dan akan berhubung dengan Presiden Mesir petang ini.
“Bersama Menteri Luar, kita juga telah menghubungi beberapa negara lain termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, meminta mereka campur tangan memastikan kebebasan semua yang ditahan oleh rejim Israel,” katanya.
Anwar berkata, apa yang didakwa sebagai kesalahan oleh Israel hanyalah keprihatinan aktivis terhadap prinsip kemanusiaan membantu mereka yang lemah, kelaparan dan sakit, termasuk wanita serta kanak-kanak di Gaza.
“Jika perkara ini tidak dapat dilakukan, maka nilai kemanusiaan kita tidak berharga sama sekali.
“Saya berdoa kepada Allah SWT agar rakan-rakan kita dibebaskan dan bantuan kemanusiaan sampai segera kepada saudara kita di Palestin,” katanya.- KOSMO! ONLINE