JAKARTA – Anggota-anggota penyelamat bertungkus lumus mencari pelajar yang masih terperangkap selama dua hari selepas bangunan sekolah pondok runtuh di Sidoarjo, wilayah Jawa Timur, lapor laman berita CNN.
Lebih 100 pelajar berkumpul untuk menunaikan solat asar apabila bangunan bertingkat Pondok Pesantren Al Khoziny itu tiba-tiba runtuh pada Isnin lalu.
Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa berjaya mengesan enam kanak-kanak yang masih hidup di bawah runtuhan dan menyalurkan makanan, air serta oksigen kepada mereka.
Sekurang-kurangnya enam orang maut, manakala 59 orang masih terperangkap di bawah runtuhan, demikian menurut Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) kelmarin.
“Data dikemas kini setakat pukul 11 malam semalam (waktu tempatan) menunjukkan 59 orang masih berada di bawah runtuhan,” kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari dalam satu kenyataan.
Pasukan penyelamat memberi amaran bahawa masa semakin suntuk untuk mencari dan mengeluarkan mereka yang masih hidup ketika operasi menyelamat memasuki hari ketiga semalam.
Ketua BNPB, Leftenan Jeneral TNI Suharyanto dikerahkan oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke tempat kejadian untuk meninjau kerosakan dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Semoga mereka terus kuat dan diberikan kesabaran,” Suharyanto.
Tambah beliau, misi menyelamat akan mengutamakan pelajar yang dipercayai masih hidup dengan mayat mangsa akan dibawa keluar dalam masa yang ditetapkan.
“(Pemindahan) mangsa yang disahkan meninggal dunia akan dilakukan selepas mereka yang masih hidup dapat diselamatkan,” tambah Suharyanto.
Usaha menyelamat bertambah sukar selepas gempa bumi bermagnitud 6.5 menggegarkan Sumenep, wilayah Jawa Timur iaitu kira-kira 199.55 kilometer dari tapak runtuhan. – AGENSI/AFP