MELAKA – Seramai 12 individu termasuk dua pelajar sekolah diberkas dalam Op Pintu/Lejang Khas 2025 selepas disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah curi harta benda di sekitar negeri ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua suspek berusia 13 hingga 46 tahun itu terdiri daripada tiga ahli kumpulan berbeza iaitu Geng Ahtee, Geng Ahsoon Pekong dan Geng Abang Wan.
“Operasi khas yang dijalankan Bahagian Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka bermula 22 hingga 28 September lalu berjaya menumpaskan tiga kumpulan terbabit yang aktif mencuri kenderaan, pecah masuk rumah serta pecah tabung masjid dan surau.
“Seramai 12 individu ditahan termasuk dua pelajar sekolah berusia 13 dan 15 tahun yang menjadi budak suruhan atau ‘striker’ oleh pasangan suami isteri yang merupakan ahli Geng Abang Wan untuk mencuri motosikal,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelasnya, Geng Ahtee dan Geng Ahsoon Pekong masing-masing dianggotai tiga lelaki, manakala dua lagi individu melakukan kegiatan secara sendiri.
Katanya, ketiga-tiga geng itu bergerak secara berkumpulan dengan menyasarkan rumah, masjid dan surau tidak berpenghuni serta kenderaan terpakai yang diletakkan di kawasan sunyi.
“Hasil saringan air kencing mendapati sembilan daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine. Polis turut merampas pelbagai peralatan pecah rumah dan mencuri kenderaan.
“Dengan penahanan ini, kita berjaya menyelesaikan 25 kes pecah rumah dan curi kenderaan yang dilaporkan di negeri ini,” ujarnya.
Ujarnya, kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu Dzulkhairi berkata, sepanjang operasi itu, polis turut memeriksa 315 buah premis, 179 individu dan 130 kenderaan.-KOSMO! ONLINE