PETALING JAYA – Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tun Mohamed Hashim Mohd. Ali, 90, menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami sakit strok di sebuah hospital swasta di ibu kota sebentar tadi.
Perkara itu telah disahkan oleh ahli keluarga terdekat Allahyarham kepada Kosmo! hari ini.
Allahyarham merupakan adik kepada isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Hasmah.
Beliau juga salah seorang wakil Kerajaan Malaysia yang menandatangani Perjanjian Damai Hatyai pada 2 Disember 1989, mewakili tentera Malaysia sebagai Panglima Angkatan Tentera ketika itu.
Perjanjian ini adalah untuk menamatkan gerakan bersenjata Parti Komunis Malaya setelah lebih 41 tahun ancaman komunis di negara ini.
Selain itu Allahyarham juga tokoh utama di sebalik penganjuran Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur dan dianggap sebagai tokoh dalam kejayaan penganjuran temasya tersebut, yang dianggap salah satu yang paling berjaya. – KOSMO! ONLINE