BUKIT JALIL – Skuad ping pong negara mempunyai misi cukup besar di Sukan SEA Thailand 2025 apabila berhasrat menamatkan kemarau 34 tahun kilauan pingat emas pada temasya tersebut Disember ini.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas pada edisi 1991 di Manila, Filipina menerusi beregu wanita, Phua Bee Sim-Chong Choi Thing dan sejak itu hanya mampu membawa pulang perak dan gangsa, termasuk tiga perak dan dua gangsa edisi Kemboja 2023.
Ketua jurulatih, Beh Lee Wei percaya detik itu mampu diulangi melihat peningkatan mendadak khususnya gandingan Karen Lyne-Tee Ai Xin sleepas menjuarai Kejohanan Dunia Ping Pong (WTT) Feeder di Vientiane, Laos pada Ogos lalu.
“Kejayaan di Laos sudah tentu akan menyemarakkan lagi semangat pemain untuk Sukan SEA 2025. Saya nampak peningkatan yang sangat besar dalam permainan mereka.
“Walaupun setiap kejohanan antarabangsa kita tak sangka boleh buat sampai ke final tetapi setiap perlawanan yang mereka menang telah meningkatkan keyakinan ke Bangkok.
“Jadi kita ada peluang dapatkan emas kerana edisi lalu tiga acara, berpasukan lelaki, wanita dan beregu lelaki mara ke final.
“Oleh itu, saya yakin kita ada peluang dalam ketiga-tiga acara berkenaan,” katanya ditemui sewaktu sesi lawatan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA Thailand 2025, Nurul Huda Abdullah di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.
Lee Wei bagaimanapun mengingatkan anak-anak buahnya cabaran besar bakal datang daripada Singapura dan Thailand.
“Jurang kami dengan mereka memang sudah semakin dekat. Kalau atlet mengekalkan aksi terbaik dan saya yakin mereka mampu lakukan kejutan di Thailand,” ujarnya.
Skuad negara akan menyertai beberapa kejohanan penting antaranya Kejohanan Asia di India dari 11 hingga 15 Oktober dan WTT Star Contender di London (21-26 Oktober) sebagai persiapan terakhir ke Bangkok. – KOSMO! ONLINE