SEPANG- Seramai lima sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam esok selepas tidak meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza.
Pengarah Sumud Nusantara Media Coordination Center, Datuk Dr. Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, lima orang sukarelawan Malaysia dan seorang warga Brunei akan diterbangkan ke KLIA dari Greece.
Katanya, keputusan itu dibuat susulan pelaksanaan proses penstrukturan peranan selepas empat buah kapal flotila mengalami kerosakan teruk dan tidak berupaya meneruskan pelayaran.
“Keenam mereka termasuk seorang warga Brunei akan pulang ke Malaysia dan menyambung tugas di Sumud Nusantara Command Center,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi.
Enam sukarelawan Malaysia itu melibatkan Abdul Rahim Azhari, Muhammad Khairin Afiq Mohd. Subkhi, Ahmad Safuan Ujar, Mohd. Asri Tuan Hussein dan Nur Ilham Fansuri Zainal.
Manakala, sukarelawan Brunei ialah Rashid Rezahmaisalamah Md. Yusof.
Terdahulu, hanya 23 daripada 34 sukarelawan Malaysia bakal meneruskan perjuangan ke Gaza selepas 11 orang daripada tidak dapat meneruskan misi disebabkan sebab tertentu.
Dua orang pula akan dihantar ke Amman Jordan untuk membantu kumpulan perundangan sekretariat membuat persediaan iaitu Hidayat Abdullah dan Nik Aziz Nik Mohammad.
Selain itu, empat orang lagi rakyat Malaysia yang tidak meneruskan pelayaran merupakan mereka yang berada dalam kapal pemerhati di mana tidak memasuki zon merah. – KOSMO! ONLINE