PETALING JAYA – Peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) menekankan bahawa ketika kecemasan, perkara paling penting bagi setiap individu di atas kapal ialah memastikan pasport masing-masing berada dalam keadaan selamat.
Perunding Media AlKhair Malaysia, Razali Awang turut berkongsi pengalaman melakukan sesi simulasi kecemasan pertama malam tadi dalam keadaan gelap.
“Malam tadi, buat pertama kali kami buat simulasi dalam keadaan gelap sepenuhnya.
“Atas kapal ini, semuanya buat shift (penggiliran), ada orang sedang tidur, ada yang sedang bekerja. Apabila dimaklumkan oleh mereka yang bertugas ada pencerobohan, benda yang paling penting pada diri masing-masing ada pasport,” katanya menerusi satu perkongsian video hari ini.
Menurutnya, pasport harus dibalut rapi menggunakan plastik kalis air bagi memudahkan segala urusan sekiranya berlaku hal-hal kecemasan.
“Selain berpakaian lengkap, berkasut dan beg pakaian yang diletakkan di ruang bawah (kapal), benda seterusnya yang perlu kami lakukan secara ‘berjemaah’ dengan mencampakkan telefon dan peranti elektrik ke dalam laut bagi mengelakkan Zionis dapat maklumat peribadi kita,” jelasnya.
Terdahulu, misi GSF yang belayar untuk mencabar sekatan Israel ke atas Gaza mengumumkan kapal-kapalnya kini berada kurang dari 150 batu nautika atau 277 kilometer dari wilayah yang dikepung itu.
“Hanya tinggal 144 batu nautika. Kami telah memasuki zon berisiko tinggi sejauh 6 batu.
“Jumlah dron yang berlegar di atas kapal kami telah berganda, dan gangguan internet serta radio lebih kuat daripada biasa. Kami semua sudah bersedia untuk detik kecemasan,” kata GSF dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE