fbpx
Sichuan Airlines mengumumkan peningkatan kekerapan laluan terus Chengdu-Pulau Pinang bermula hujung Oktober ini.

Sichuan Airlines tambah penerbangan Chengdu-P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kedatangan pelancong dari China ke negeri ini melonjak dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan utama mereka.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, rekod menunjukkan sebanyak 121,030 pelancong China hadir dari Januari hingga Julai lalu berbanding hanya 16,480 orang dalam tempoh sama pada 2023, iaitu peningkatan 634.4 peratus.

“Peningkatan luar biasa itu turut mengatasi angka 2024 apabila hanya 59,420 pelancong direkodkan, menjadikan pertumbuhan tahun ke tahun mencecah 103.7 peratus.

“Susulan permintaan kukuh itu, Sichuan Airlines mengumumkan peningkatan kekerapan laluan terus Chengdu-Pulau Pinang kepada penerbangan harian setiap hari mulai hujung Oktober ini hingga Mac 2026,” katanya di sini, hari ini.

Hon Wai berkata, keputusan syarikat penerbangan tersebut adalah bukti keyakinan pasaran antarabangsa terhadap tarikan pelancongan Pulau Pinang.

“Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chengdu Tianfu akan berlepas setiap hari pada pukul 7.40 malam dan tiba di Pulau Pinang pada 12.05 tengah malam.

“Bagi penerbangan pulang, pesawat akan berlepas dari Pulau Pinang pada pukul 1 pagi dan tiba di Chengdu pada 5.10 pagi,” katanya.

Menurutnya, ketika ini Pulau Pinang dihubungkan dengan enam bandar utama di China iaitu Chengdu, Xiamen, Guangzhou, Shenzhen, Hong Kong dan Shanghai melalui sembilan syarikat penerbangan.

“Antaranya adalah Sichuan Airlines, Xiamen Airlines, China Southern Airlines, Shenzhen Airlines, AirAsia, Cathay Pacific, Hong Kong Express, Juneyao Airlines serta Shanghai Airlines.

“Rangkaian ini merangkumi kawasan Timur, Selatan dan Barat Daya China, sekali gus mewujudkan sambungan udara yang menyeluruh ke negeri ini,” katanya.

Tambahnya, pada masa ini terdapat 61 penerbangan berjadual mingguan antara Pulau Pinang dan China dan dengan tambahan laluan harian Chengdu, jumlah itu akan meningkat kepada 63 penerbangan mingguan.

“Angka luar biasa ini bukan sahaja membuktikan permintaan tinggi dari pasaran China, malah mengesahkan daya tarikan unik Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan antarabangsa,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI