LUMUT – Sebanyak 2,000 liter diesel dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi satu serbuan ke atas sebuah premis sembelihan babi di Ayer Tawar, Sitiawan dekat sini semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan Ops Tiris pada pukul 5 petang itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Manjung.
Beliau berkata, serbuan itu dilaksanakan hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu oleh penguat kuasa KPDN Perak ke atas aktiviti membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di kawasan Manjung.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mendapatkan minyak diesel dipercayai daripada stesen-stesen minyak sekitar Manjung, sebelum dipindahkan ke dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) yang disimpan di premis terbabit.
“Minyak diesel itu disimpan di premis berkenaan yang dijadikan stor simpanan, bagi kegunaan sendiri serta jualan semula tanpa permit sah,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 2,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam tangki-tangki IBC.
Beliau berkata, dua orang lelaki tempatan berusia 39 tahun dan 49 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori dan kelindan lori didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita cecair disyaki minyak diesel sebanyak 2,000 liter, sebuah lori dan enam buah tangki IBC beserta pam dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM42,680.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE