KUALA LUMPUR – Sukan bola jaring wajar diperkenalkan seawal tahun satu di peringkat sekolah rendah bagi memastikan murid-murid perempuan mendapat pendedahan awal dan peluang sama rata dalam aktiviti sukan.
Pengasas Raptors Netball Academy, Shilachi Rizal berkata, pengenalan seawal umur tujuh tahun dalam sukan itu mampu melahirkan lebih ramai bakat berkualiti, selain meningkatkan minat pelajar terhadap gaya hidup sihat.
“Sekarang murid hanya dapat peluang rasmi main bola jaring bermula tahun tiga melalui kejohanan MSSD (Majlis Sukan Sekolah Daerah). Tapi kita kena sedar, banyak tadika swasta dah ada pertandingan dalaman seawal umur lima tahun.
“Masuk tahun satu dan dua, mereka terpaksa tunggu dua tahun tanpa kesinambungan. Itu satu kerugian besar kerana tempoh umur enam hingga lapan tahun adalah fasa kritikal pembangunan bakat,” katanya ketika ditemui pada Klinik Bola Jaring sempena pembukaan cawangan ke-20 Raptors Netball Academy di Ipoh, Ahad lepas.
Menurut Shilachi, Raptors Netball Academy ketika ini mempunyai 20 cawangan dengan 500 pelatih di seluruh negara.
Beliau turut menegaskan, ranking Malaysia dalam bola jaring ketika ini masih kukuh di peringkat Asia dan berada di tangga 28 dunia. Namun, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, Malaysia mungkin akan ketinggalan jika tiada kesinambungan program pembangunan dari usia kanak-kanak.
“Kalau kita serius nak majukan bola jaring dan jadikan Malaysia kuasa besar sukan wanita, langkah bermula dari sekolah rendah adalah kunci utama. KPM boleh jadikan bola jaring sebahagian daripada aktiviti wajib murid perempuan, sama seperti bola sepak untuk murid lelaki,” tambahnya.
Beliau turut merujuk contoh negara seperti Australia dan England, yang telah lama menjadikan bola jaring sebahagian daripada kurikulum sukan sekolah rendah dan hasilnya, mereka konsisten melahirkan pemain bertaraf dunia.
Raptors Netball Academy sendiri telah membuktikan keberkesanan latihan awal apabila hampir separuh daripada pelatihnya terdiri daripada kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun, yang kini lebih cekap menguasai asas permainan.
“Akademi ini juga aktif menganjurkan klinik dan pertandingan di seluruh Malaysia, dengan matlamat memperluas program pembangunan akar umbi sehingga 100 cawangan dalam tempoh tiga tahun.
“Dengan kehadiran kukuh di Utara, Selatan dan Lembah Klang, Raptors Netball Academy terus mengorak langkah memperkukuh jaringan latihan di seluruh negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE