KUALA LUMPUR – Malaysia mahu menepis tanggapan sebagai destinasi pelancongan yang ‘membosankan’ dengan memperkukuh sektor hiburan malam atau ‘nightlife’ sebagai salah satu daya tarikan baharu agar lebih segar dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, terdapat maklum balas daripada beberapa pemain industri luar negara yang menyifatkan Malaysia masih kekurangan variasi hiburan untuk pelancong, khususnya pada waktu malam.
“Saya diberitahu, pelancong dari negara tertentu berasa Malaysia agak membosankan kerana tiada hiburan malam yang menyeronokkan. Mereka mahu datang bukan sekadar bercuti, tetapi untuk menikmati kehidupan pantai, beli-belah dan juga hiburan selepas waktu siang.
“Jangan risau, Malaysia ada segalanya. Kita akan pastikan sektor hiburan malam ini dibangunkan secara lebih sihat dan terkawal, agar pelancong boleh menikmatinya tanpa rasa gusar,” katanya ketika berucap pada Malam Gala Global Travel Meet 2025 dan Pelancaran Kalendar Rasmi Acara 2026 Tourism Malaysia di sini, hari ini.
Menurut King Sing, kementerian bersama agensi berkaitan akan memastikan setiap bentuk hiburan malam yang ditawarkan mematuhi peraturan serta garis panduan agar ia kekal selamat, beretika dan mesra pelancong.
Beliau menambah, penekanan kepada sektor ‘nightlife’ itu bukan sahaja untuk memenuhi selera pelancong asing, malah sebagai usaha mengubah persepsi bahawa Malaysia tidak mempunyai tarikan unik berbanding negara lain di rantau ini.
“Kita tidak mahu Malaysia terus dianggap destinasi biasa. Kita mahu gugurkan label ‘membosankan’ dan sebaliknya memperkenalkan wajah baharu industri pelancongan negara agar lebih dinamik, lebih segar dan lebih terbuka,” katanya.
Beliau juga yakin bahawa penganjuran Global Travel Meet 2025 yang menghimpunkan lebih 600 pembeli, 400 penjual dan 100 media antarabangsa menjadi titik permulaan bagi menampilkan Malaysia sebagai hab pelancongan serantau yang lebih kompetitif serta inklusif. – KOSMO! ONLINE