HULU SELANGOR – Seorang pakar motivasi lelaki berumur 50 tahun ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan di bahagian depan depan dan belakang sebuah kereta kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pemilik kenderaan itu ditahan di Lebuh Raya Utara- Selatan arah Selatan berdekatan Behrang pada pukul 9.30 malam pada Sabtu minggu lalu.
“Kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran PRF (asli) di bahagian depan, manakala nombor pendaftaran RF (palsu) dipamerkan di bahagian belakang.
“Siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran RF adalah wujud dan dimiliki oleh individu lain yang menetap di Perlis. Hasil semakan pengkalan data JPJ mendapati kenderaan ini telah mempunyai 42 saman lampau berjumlah RM12,600 atas kesalahan berkaitan kamera Automated Awareness Safety System (Awas),” katanya kepada pemberita pada sidang media di Stesen Penguatkuasaan JPJ Kalumpang di sini hari ini.
Katanya lagi, pemilik kenderaan itu mengelak daripada dikenakan saman dengan menggunakan plat kenderaan palsu itu RF tersebut sejak 2023.
“Aduan telah dibuat oleh pemilik plat nombor RF yang menerima notis-notis saman yang warna dan jenis kenderaan ialah sama.
“Saman Awas yang dikenakan terhadap pemilik nombor plat (RF) akan dipindahkan kepada pemilik kenderaan (PRF) yang telah melakukan kesalahan tersebut,” katanya.
Katanya, pemilik kenderaan PRF itu sering memandu laju melebihi 160 kilometer sejam selain turut menggunakan alamat palsu untuk urusan lesen dan pendaftaran kereta. – KOSMO! ONLINE