PUTRAJAYA – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong kekal menjalani hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan dua sebatan kerana merogol pembantu rumahnya, enam tahun lalu oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.
Keputusan sebulat suara itu, dibuat panel tiga hakim diketuai yang Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas menolak rayuan Paul Yong, 55, terhadap sabitan dan hukuman kerana kesalahan itu.
Beliau yang bersidang bersama-sama hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah turut mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada 1 Mac tahun lalu.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dengan dua sebatan terhadap Paul Yong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia berusia 23 tahun, di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh pada 7 Julai 2019.
Kemudian Pada 1 Mac 2024, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, mengekalkan sabitan bersalah terhadap Paul Yong. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan tempoh hukuman penjara Yong daripada 13 tahun kepada lapan tahun dengan dua sebatan.
Perbicaraan kes itu bermula pada 5 April 2021 dengan 23 saksi termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan. – KOSMO! ONLINE