PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang genap sedekad menabur bakti dalam pengurusan bencana di negara ini.
Menurut beliau, sejak ditubuhkan, Nadma sentiasa berada di barisan hadapan setiap kali krisis melanda, membuktikan komitmen dan kesungguhan melindungi nyawa, harta benda serta kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Ulang tahun ke-10 ini bukan sekadar tanda kejayaan, tetapi permulaan baharu untuk Nadma memperkukuh kesiapsiagaan, memanfaatkan teknologi serta memperhebat kerjasama dalam menghadapi cabaran masa depan.
“Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia menghargai jasa serta pengorbanan warga Nadma yang terus memainkan peranan penting demi sebuah negara yang selamat, berdaya tahan dan sejahtera,” katanya dalam video perutusan khas menerusi Facebook hari ini.
Tambahnya, Nadma diseru agar terus maju sebagai agensi teras negara dalam pengurusan bencana, seiring aspirasi Malaysia Madani. – KOSMO! ONLINE














