fbpx
Hishamuddin pada sidang akhbar berhubung skim pelaburan forex di Menara KPJ, hari ini.

MHO desak ‘mastermind’ skim forex RM140 juta didakwa segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendesak agar siasatan dipercepatkan dan tindakan pendakwaan segera diambil terhadap dalang utama skim pelaburan forex yang mengakibatkan kerugian hampir RM140 juta.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, walaupun kes ini telah disiasat lebih dua tahun oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), sehingga kini tiada sebarang perkembangan ketara termasuk pendakwaan.

Menurutnya, kes berkenaan membabitkan tiga individu utama iaitu warga Indonesia, warga Russia dan warga tempatan dipercayai mengendalikan skim pelaburan melalui beberapa syarikat berdaftar di Labuan, syarikat broker di Indonesia serta rangkaian pemasaran di Malaysia.

“Modus operandi mereka bermula dengan pembayaran dalam bentuk forex sebelum ditukar kepada mata wang kripto tanpa persetujuan pelabur. Selepas itu, bayaran dihentikan sepenuhnya dengan pelbagai alasan.

“Laporan polis sudah dibuat sejak pertengahan 2024 dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Namun sehingga kini, siasatan dilihat terlalu perlahan,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Beliau dilaporkan berkata, mangsa dipercayai mula melabur pada 2018, tetapi masalah timbul pada 2021 dan 2022 sehingga mereka tidak lagi mendapat imbuhan daripada pelaburan yang dibuat.

Hishamuddin berkata, setakat ini terdapat 49 mangsa tampil bersama MHO dengan jumlah keseluruhan yang dikenal pasti mencecah hampir 495 orang.

Bagi mengukuhkan siasatan, katanya, MHO turut membawa dua whistleblower (pemberi maklumat) yang pernah terlibat dalam pentadbiran dan pemasaran skim terbabit.

“Kedua-duanya memiliki bukti komunikasi WhatsApp, transaksi kewangan dan rakaman mesyuarat dalam talian bersama dalang utama. Mereka tampil secara sukarela untuk memberi keterangan serta bersedia menjadi saksi pendakwaan.

“Ini bukti yang mampu mengaitkan terus dalang sindiket dengan jenayah penipuan ini. Apa yang kami mahu ialah pendakwaan segera, bukan siasatan berlarutan tanpa kesudahan,” ujarnya.

Jelasnya, melengah-lengahkan pendakwaan sama seperti melengah-lengahkan keadilan kepada semua mangsa terlibat.

Dalam pada itu, MHO mencadangkan agar siasatan tidak hanya dibuat di bawah Seksyen 420, tetapi turut diperluas di bawah Seksyen 130V atau 130W Kanun Keseksaan kerana kes ini mempunyai elemen jenayah terancang.

“Dengan adanya saksi dari dalam sindiket, sudah sampai masa siasatan diperluas bagi memastikan mastermind (dalang utama) dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI