IPOH – Seorang lelaki yang tular kerana memukul anjing peliharaan menggunakan sebatang besi sehingga cedera sebelum mati, didenda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Majistret Anis Hanini Abdullah turut memerintahkan tertuduh, M. Thineshkumar, 23, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang mekanik itu didakwa dengan kejam memukul seekor haiwan jenis anjing dengan menggunakan sebatang besi sehingga mengalami kecederaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lebuh Kledang Utara, Taman Arkid dalam daerah Kinta antara pukul 10.30 malam pada 18 September 2025 hingga 9 pagi, 19 September 2025.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah agar hukuman ringan dikenakan atas alasan tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menanggung ahli keluarga.
“Saya pukul anjing itu kerana dia menggigit saya. Saya mohon denda minimum,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Amal Aziemah Abd. Kohar bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. – KOSMO! ONLINE