KEMAMAN – Pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu keseluruhan (GC) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas memenangi peringkat keempat hari ini.
Pada perlumbaan dari Kuala Terengganu ke Kemaman dengan jarak sejauh 141.5 kilometer (km) itu, Malucelli menunggu sehingga ke penghujung saingan untuk melakukan henjutan terakhir dan melintasi garingan penamat sebagai pemenang.
Keputusan itu menyaksikan dia terus mengekalkan jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan serta jersi oren (raja pecut), sekali gus menjadi pilihan utama untuk memenangi edisi kali ini.
Malucelli berkata, pendekatan berbeza digunakan semalam jelas membantu pelumba dari Itali itu untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan masa tiga jam 17 minit 56 saat (s).
“Satu kemenangan yang hebat bersama pasukan besar. Kebiasaannya saya buat berseorangan tetapi hari ini kami melakukannya secara berpasukan, lebih-lebih lagi sudah semakin serasi.
“Tiga kemenangan dalam empat peringkat adalah sesuatu yang luar biasa. Kebiasaannya saya akan menyerang dari belakang tetapi hari ini saya memulakannya di depan dan rasa sudah catat kemenangan yang baik,” katanya.
Mengiringi Malucelli di podium adalah pelumba Polti VisitMalta, Manuel Penalver yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik Erlend Blikra dari Uno-X Mobility.
Pada masa sama, Malucelli turut mengakui perlumbaan hari ini mungkin menjadi hari terakhir untuk dia menyarung jersi hijau dan mengharapkan rakan sepasukan dapat mengambil alih jersi keramat tersebut.
“Saya pasti esok akan menjadi hari terakhir untuk saya memegang jersi keseluruhan. Saya harap ia akan bertukar tangan, kalau boleh biarlah rakan sepasukan saya sendiri,” ujar Malucelli. – KOSMO! ONLINE