MELAKA – Walaupun pelaksanaan Budi Madani RON95 (Budi95) memberi penjimatan kepada pengguna dengan had 300 liter sebulan, namun masih ada pengguna yang perlu berbelanja lebih ekoran kekerapan mereka melakukan perjalanan jauh untuk bekerja.
Seorang pekerja swasta, Normaalif Abu Bakar, 36, berkata, penetapan 300 liter sebulan itu mungkin tidak mencukupi buatnya yang perlu berulang-alik antara Melaka dan Kuala Lumpur hampir setiap hari atas urusan kerja.
“Bila selalu memandu jauh, minyak akan cepat habis dan saya terpaksa guna kuota isteri untuk cukupkan. Bagaimanapun, kaedah yang ditetapkan oleh kerajaan ini sangat baik kerana dapat cegah salah guna terutama oleh warga asing.
“Sekurang-kurangnya harga lebih murah, dari RM2.05 seliter sebelum ini turun kepada RM1.99,” katanya.
Muhammad Amin Sulaiman, 30, pemandu perkhidmatan penghantaran dari Bukit Katil turut menyuarakan rasa lega dengan penjimatan yang diperoleh.
“Biasanya lebih RM200 sebulan habis untuk minyak. Dengan Budi95 memang banyak jimat.
“Kalau dulu isi RM6 tak penuh, hari ini RM6 sudah penuh tangki,” ujarnya.
Di Johor Bahru, seorang penyelia, Megat Hazwan Megat Abdul Hamid, 44, mengakui pelaksanaan inisiatif Budi95 yang dinikmati semalam boleh mengurangkan kos perbelanjaan bahan api setiap bulan.
“Kalau kerja di sekitar Johor Bahru, isi minyak penuh RM50 dan mampu bertahan selama tiga hari, kalau luar daerah seperti Kota Tinggi dan daerah lain, sehari mungkin RM50,” katanya.
Menurut Megat Hazwan, jika diikutkan dengan situasi kerjanya, kuota 300 liter sememangnya tidak mencukupi.
“Kerja saya memang ‘travel’ hari-hari, sebulan lebih 300 liter guna, jadi kalau boleh mereka yang kerja macam kami ini, kerajaan pertimbangkan tambah nilai kuota 300 liter.
“Namun apa yang kami dapat hari ini sudah bersyukur sangat-sangat” katanya lagi.















