BARCELONA – Gergasi Sepanyol, Barcelona mendapat keyakinan baharu apabila Lamine Yamal telah kembali menemui tahap terbaik selepas bebas kecederaan pangkal paha.
Masalah itu menyebabkan Yamal, 18, terlepas empat perlawanan, namun kepulangannya menjadi pencetus semangat Barcelona untuk menewaskan Real Sociedad 2-1 dalam saingan La Liga kelmarin.
Pemenang tempat kedua Ballon d’Or itu hanya mengambil masa seminit selepas masuk dari bangku simpanan dengan mencipta umpanan buat Robert Lewandwoski meledak gol kemenangan.
Bintang muda itu turut berjaya menggegar gawang tidak lama kemudian, namun golnya itu dibatalkan kerana kesalahan ofsaid
“Saya amat gembira dengan prestasi Yamal. Kepulangannya pada waktu tepat kerana kami akan bermain aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pula selepas ini,” kata pengendali Barcelona, Hansi Flick.
Yamal yang turut menerima trofi Kopa pada Anugerah Ballon d’Or sebelum ini, pastinya bakal menghadirkan masalah besar buat Paris Saint-Germain (PSG) menjelang aksi UCL di Estadi Olimpic Lluis Companys awal pagi esok.
Selain Yamal, Barcelona yang kini di puncak La Liga, juga boleh bergantung harap kepada seorang lagi pemain iaitu Marcus Rashford.
Bintang pinjaman daripada Manchester United itu semakin menemui aksi terbaiknya apabila mencipta bantuan jaringan ketika membenam Sociedad kelmarin dan mula menikmati kehidupan baharu di Barcelona. – AGENSI