fbpx
AHMAD IDHAM bersama barisan pelakon yakin sudah memberikan yang terbaik dan berharap filem Tembuni Berdarah mampu memberi kepuasan tontonan buat peminat filem Melayu. – IQBAL ROSLI

‘Kalau ketengahkan seram bentuk Barat takut tak jadi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA pengarah Dr. Ahmad Idham bukanlah asing dalam industri perfileman tempatan, khususnya dalam genre seram yang sering mendapat tempat di hati penonton Malaysia.

Lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia pengarahan dan penerbitan, beliau dikenali sebagai salah seorang sutradara prolifik dengan sentuhan unik, terutama dalam mengolah karya seram bercampur elemen kekeluargaan, psikologi dan mistik.

Kali ini, Ahmad Idham tampil dengan naskhah berjudul Tembuni Berdarah yang membongkar sisi gelap dunia estetika kecantikan apabila amalan syirik dan susuk menjadi jalan pintas untuk mendapatkan kesempurnaan.

Pemilik nama lengkap Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu memberitahu, idea asal datang daripada penerbit, Datuk Sayed Amrul Muazam Al Sayed Mohamad yang diolah agar lebih dekat dengan budaya tempatan.

“Idea asal filem ini daripada penerbit yang juga merupakan pemilik sebuah klinik estetika. Saya membawa ke layar perak dengan konteks tak lari daripada acuan Melayu sebab saya percaya, cerita ini akan ke luar negara.

“Cuma saya perlu fikirkan berdasarkan pengalaman. Kita jangan lupa acuan Malaysia sebab kalau kita buat buat estetik, tapi ketengahkan seram berbentuk Barat, saya takut tak jadi,” katanya kepada HibGlam.

Bagi Idham, dia tetap akan mempertahankan identiti Melayu dalam setiap filem arahannya biarpun mempunyai potensi untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Memang saya akan kekalkan sampai bila-bila kerana bagi saya, kalau saya nak bawa filem saya keluar, kena ada identiti kita. Saya perlu bawa cerita hantu Melayu.

“Jadi saya rasa kalau saya ke skrin antarabangsa, kenapa orang nak tengok cerita seram Malaysia, kita kena ada identiti kita.

“Biar saya ketengahkan budaya kita, saya boleh membuka minat orang luar untuk tengok filem kita. Sebab formula itu memang menjadi,” tuturnya.

Tambahnya, kekuatan filem terbaharu tersebut bukan bergantung semata-mata kepada kesan janaan imej (CGI), sebaliknya lebih menonjolkan kesan praktikal (live effect) yang digabungkan dengan jalan cerita melibatkan elemen mistik tempatan seperti saka.

“Sebenarnya tak banyak mana pun (CGI) sebab banyak ‘live effect’. CGI itu dia campurkan sikit-sikit. Kalau tanya saya dalam 30 ke 40 peratus sahaja.

“Saya tak ada masalah dengan semua kesan atau CGI sebab ini ‘permainan’ apabila saya main dengan saka, saya kena ada kepelbagaian. Saya tak bergantung pada CGI sangatlah.

“Kepelbagaian karakter yang dibawa pelakon Khatijah Tan itu sendiri sudah cukup mewakili mitos saka yang sering digambarkan dengan pelbagai rupa,” jelasnya lagi.

Ahmad Idham turut memuji keberanian bintang utamanya, Sophia Albarakbah yang keluar dari zon selesa demi menjayakan watak utama dalam filem tersebut.

Pujian buat Sophia

“Dia keluar daripada zon selesa dan turut belajar ilmu perubatan sebab itu tengok dia guna jarum tampak semula jadi sebab pernah bekerja hospital.

“Sebenarnya dia cuba bangkit kerana dia pun tertekan. Dia nak lari daripada stereotaip yang semua orang anggap macam itu sahaja.

“Saya pun risau juga, adakah saya menekan Sophia terlalu kuat demi menghidupkan watak ini,” jelasnya.

Selain Sophia, pelakon lain yang turut terlibat dalam filem seram terbabit ialah Niezam Zaidi, Mia Nasir, Khatijah Tan, Sharifah Shahora dan Riezman Khuzaimi.

Tembuni Berdarah menceritakan mengenai Dr. Izara (Sophia), seorang usahawan yang berpegang teguh pada prinsip bahawa kejayaan datang dari usaha dan kerja keras.

Namun, pendiriannya dicabar neneknya, Bok Miah (Khatijah), seorang pengamal ilmu hitam yang beranggapan amalan syirik harus digunakan untuk membantu keluarga mereka hidup senang.

Diterbitkan Lindo Production Sdn Bhd, filem Tembuni Berdarah mula ditayangkan di pawagam bermula 25 September lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI