TATAU – Seekor buaya yang dipercayai membaham seorang lelaki ketika mandi di anak sungai di sebuah ladang di sini pada 27 September lalu berjaya ditangkap, hari ini.
Ia apabila pembedahan yang dilakukan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) pada pukul 10.30 pagi menemukan beberapa anggota badan termasuk sisa daging manusia di dalam perut buaya tersebut.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, buaya tersebut berjaya ditangkap oleh penduduk kampung pada pukul 9.25 pagi dan memaklumkan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
“Pihak SFC telah menjumpai kepala, rahang, perut, paha dengan diselimuti daging manusia di dalam perut buaya tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kesemua anggota badan manusia itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, seorang lelaki berusia 21 tahun dilaporkan dibaham buaya ketika sedang mandi bersama abangnya di anak sungai berdekatan pondok kebun.
Kejadian turut disaksikan oleh abang mangsa, yang telah mencuba menyelamatkan adiknya dengan menerkam ke arah buaya tersebut tetapi gagal. Mangsa seterusnya dibawa oleh buaya berkenaan ke dalam sungai.
Susulan penemuan anggota badan manusia di dalam perut buaya terbabit, operasi SAR yang memasuki hari keempat hari ini ditangguh sementara.
Bagaimanapun, penemuan anggota badan manusia itu belum lagi disahkan sebagai mangsa. – KOSMO! ONLINE