PUTRAJAYA – Kerajaan akan membangunkan 16 buah Makmal Building Information Modelling (BIM) dengan kos RM40.2 juta bagi memberi pendedahan kepada pihak industri pembinaan mengenai kepentingan keselamatan menggunakan teknologi terkini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia akan digunakan untuk reka bentuk 3D secara intelligent collaborative process untuk membina bangunan, jalan, jambatan dan lain-lain.
Katanya, proses itu bermula daripada pembinaan sehingga penyelenggaraan.
“JKR akan ada Makmal BIM di setiap negeri untuk projek khas menggunakan perisian komputer terkini selari dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
“Sektor pembinaan mesti pantas, berkualiti dan guna teknologi terkini seperti buatan AI, Internet of Things, Autonomous Robotic, 3D Printing, Digital Twins termasuk Modular Precast System berkonsepkan Lego mampu tingkatkan kecekapan projek pembinaan kerajaan,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Program JKR BIM Day 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Program bertemakan “BIM: Bridging Design to Sustainable Public Assets Through Digital Twins & AI” menghimpunkan sekitar 800 peserta terdiri daripada pegawai kerajaan, pihak swasta dan warga akademik.
Menurut Ahmad, sebanyak 60 kertas kerja dibentangkan oleh pakar tempatan dan antarabangsa dari Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, Filipina, India, China, Rusia dan Sepanyol sepanjang program.
Selain itu, 31 pempamer turut disediakan sepanjang program dua hari itu bagi memperkenalkan teknologi dan inovasi terkini dalam bidang BIM. – KOSMO! ONLINE