fbpx
Ucapan takziah oleh Angkatan Tentera Malaysia atas pemergian Allahyarham Mohamed Hashim.

Jenazah Tun Mohamed Hashim dikebumi di Raudatul Sakinah, Sungai Besi malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jenazah Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) Kesembilan, Jeneral Tun Mohamed Hashim Mohd Ali akan disemadikan di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Sungai Besi selepas solat isyak malam ini.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebelum istiadat pengebumian, jenazah Allahyarham terlebih dahulu akan disembahyangkan di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan.

Jelas Markas ATM, pihaknya akan mengatur gerak Operasi Rampai sebagai tanda penghormatan tertinggi ATM terhadap mantan Panglima Angkatan Tentera.

“Pengurusan jenazah Allahyarham dilaksanakan mengikut adat istiadat ketenteraan, termasuk istiadat penghormatan peringkat tertinggi sebelum disemadikan.

“Istiadat penghormatan terakhir dijangka turut disertai oleh kepimpinan tertinggi negara termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, PAT, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, barisan panglima perkhidmatan serta mantan-mantan PAT,”kata kenyataan tersebut.

Markas ATM berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada pasukan dan negara.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Mohamed Hashim, 90, menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami sakit strok di sebuah hospital swasta di ibu kota kira-kira pukul 11.52 pagi tadi.

Perkara itu telah disahkan oleh ahli keluarga terdekat Allahyarham.

Mohamed Hashim merupakan adik kepada isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Hasmah.

Beliau juga salah seorang wakil Kerajaan Malaysia yang menandatangani Perjanjian Damai Hatyai pada 2 Disember 1989, mewakili tentera Malaysia sebagai Panglima Angkatan Tentera ketika itu.

Perjanjian ini adalah untuk menamatkan gerakan bersenjata Parti Komunis Malaya setelah lebih 41 tahun ancaman komunis di negara ini.

Selain itu Allahyarham juga tokoh utama di sebalik penganjuran Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur dan dianggap sebagai tokoh dalam kejayaan penganjuran temasya tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI