PETALING JAYA – Kepimpinan berintegriti bukan sekadar soal imej atau slogan semata-mata, tetapi menjadi penentu utama kejayaan dasar kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia membentuk budaya kerja, mempengaruhi cara keputusan dibuat, dan memastikan dasar kerajaan sampai kepada rakyat secara adil dan telus
“Kalau integriti hilang, bukan sahaja reputasi tercalar, malah keyakinan rakyat boleh runtuh. Sebab itu saya selalu tekankan, integriti mesti jadi teras, bukan pilihan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau hadir sebagai salah seorang panel dalam Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri ke-8, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.
Forum tersebut mengangkat tajuk Integriti dan Kepimpinan Nasional Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistemik.
Saifuddin berkata, budaya integriti perlu diterapkan dalam semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan beberapa lagi, memandangkan peranan mereka yang sangat kritikal dalam memastikan keberkesanan dasar kerajaan sampai kepada rakyat.
Saifuddin berharap wacana seperti itu akan terus menjadi medan memperkukuh kefahaman, membina kesedaran, dan menyalakan iltizam bersama dalam menjunjung nilai integriti di semua peringkat kepimpinan. – KOSMO! ONLINE