KUCHING – Sebanyak 757 keping poster dan iklan along yang digantung di tiang-tiang tanda isyarat dan lampu di sekitar bandar raya ini diturunkan dalam Op Vulture yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, penurunan kesemua poster dan iklan pemberi pinjaman wang tanpa lesen itu dibuat di kawasan Gita, Santubong, Tabuan Jaya, Bintawa, Sentral, Padungan, Sekama, Sg. Maong dan Satok.
“Tindakan ini diambil ekoran aduan awam dan usaha berterusan pihak polis dalam membanteras kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang turut menyumbang kepada kes-kes jenayah komersial terutama dalam kes penipuan pinjaman tidak wujud serta kes pemerasan terhadap peminjam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau memberi peringatan tegas kepada mana-mana pihak agar tidak menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (akta 400).
Katanya, sebarang aktiviti seumpama itu boleh dikenakan tindakan undang-undang. – KOSMO! ONLINE