ALMATY – Penyerang sensasi Real Madrid, Kylian Mbappe menjadi watak penting pasukannya berpesta gol melakar kemenangan 5-0 ke atas kelab Kazakhstan, Kairat Almaty dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Pavlodar Central awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, bintang antarabangsa Perancis tersebut meledak hatrik memastikan The Galacticos meraih tiga mata dengan dua lagi gol disumbangkan oleh Eduardo Camavinga dan Brahim Diaz.
Menurut Mbappe, keputusan positif itu boleh dianggap sebagai jawapan terhadap kritikan yang dilemparkan ke atas mereka selepas tewas memalukan 2-5 dalam aksi La Liga kepada seteru setempat, Atletico Madrid minggu lalu.
“Kita tidak boleh lupa apa yang berlaku ketika tewas kepada Atletico dan pemain semua bekerja keras untuk memastikan pasukan dapat kembali berada di landasan kemenangan.
“Mengenai jaringan hatrik, saya tidak mahu terlalu mendabik dada kerana tugas saya adalah membantu pasukan. Jika saya ada lima peluang, sepatutnya saya boleh jaringkan lima gol,” katanya.
Pengendali Real, Xabi Alonso gembira melihat impak yang diberikan oleh pemain berusia 20 tahun itu selepas meledak 13 gol secara keseluruhan musim ini.
“Prestasi Mbappe semakin ampuh kerana dia bukan sahaja memiliki penyudah yang tajam, malah turut membantu pasukan ketika bertahan,” katanya. – AGENSI