KLANG – Setelah 16 tahun menjadi destinasi borong rakyat Malaysia, GM Klang meraikan pencapaian tersebut dengan menambah waktu operasi pusat membeli-belah tersebut bermula pukul 10 pagi hingga pukul 10 malam setiap hari, bermula 1 November ini.
Kini waktu operasinya bermula pukul 10 pagi dan berakhir pukul 7 malam.
Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang, Norsuhaida Othman berkata,inisiatif tersebut bukan sekadar pelanjutan waktu, tetapi satu hadiah istimewa buat para pelanggan yang telah setia menyokong sejak hari pertama.
“Kini, GM Klang menawarkan lebih peluang untuk membeli-belah, menjamu selera dan menikmati pelbagai pengalaman baharu yang lebih santai, fleksibel dan menyeronokkan dari pagi hingga ke malam.
“Sebagai simbolik kepada hari pertama pelaksanaan waktu operasi baharu ini, GM Klang akan menganjurkan acara istimewa bertemakan ‘Ceritera Selangor’ pada 1 November ini. Acara tersebut akan disempurnakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Datuk Abd. Hamid Hussain,” katanya di sini, hari ini.
Norsuhaida berkata, pada hari tersebut, GM Klang bakal menyajikan pelbagai pengisian berwarna-warni seperti persembahan seni budaya pelbagai kaum, peragaan busana tradisional, serta deretan sajian popular dan ‘viral’ menerusi Festival Makanan Rasa Fusion Food 3.0.
Katanya lagi, acara tersebut menandakan permulaan lembaran baharu yang lebih segar, mesra keluarga dan penuh kemeriahan di GM Klang.
“Waktu malam kini akan menjadi nadi baharu yang menghidupkan GM Klang yang lebih inklusif. Bukan sekadar masa tambahan untuk membeli-belah, tetapi masa untuk komuniti berhimpun, berhibur dan mencipta momen istimewa bersama rakan dan keluarga.
“Pelbagai pengisian telah disusun untuk memeriahkan lagi suasana malam di sini. Kami mahu pengalaman di GM Klang bukan hanya melibatkan transaksi, tetapi juga interaksi yang membina dan semua ini disokong dengan kemudahan seperti parkir percuma selepas 6 petang,”ujarnya.
Seiring dengan pelanjutan waktu operasi, pelbagai aktiviti seperti ‘Night Crazy Deals’, promosi eksklusif harian bermula pukul 7 malam dan cabutan bertuah ‘Monthly Lucky Night Draw: Shop & Win at GM Klang’ dengan hadiah utama seperti motosikal dan televisyen pintar, serta siri mingguan ‘Rioooh Malam Sabtu’ turut diadakan. – KOSMO! ONLINE