GERIK – Seorang anggota polis maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan dua buah treler di Kilometer 85.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu dekat Kampung Tawai di sini hari ini.
Kejadian itu mengorbankan Sarjan Detektif Mohd. Fahmi Arzmi, 42, di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Vios merupakan anggota yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, maklumat kemalangan membabitkan dua kenderaan berat itu diterima pihaknya pada pukul 1.50 pagi.
Katanya, kejadian berlaku ketika kenderaan dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Gerik ke Kuala Kangsar dan berada di belakang treler membawa muatan kayu balak dipandu lelaki berusia 59 tahun.
“Sampai di lokasi kejadian, treler muatan baja dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun yang datang dari arah bertentangan telah terbabas sebelum melanggar bahagian kanan treler muatan kayu balak.
“Pelanggaran itu menyebabkan dua kenderaan berat berkenaan bergesel dengan treler baja masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam kejadian itu, pemandu treler muatan baja cedera di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan manakala pemandu treler balak tidak cedera. Mayat anggota polis itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE