JOHOR BAHRU – Pengendali FC Machida Zelvia, Go Kuroda terpaksa berpuas hati apabila sekadar mengutip satu mata setelah gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama menyaksikan perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) berkesudahan tanpa jaringan.
Biarpun gagal mencatatkan kemenangan dalam penampilan pertama ACLE, Kuroda percaya ada hikmah di sebalik keputusan itu yang menjadi titik tolak buat pasukan lebih berusaha keras untuk berjaya.
Katanya, pada perlawanan itu, pemain sudah menjalankan tugas dengan baik dengan mematikan pergerakan Harimau Selatan dan menguasai permainan tersebut.
“Kita tahu kekuatan JDT yang melakukan serangan balas pantas dan situasi bola mati, ini berjaya kita patahkan. Mereka juga bertahan dengan baik dan bijak melakukan transisi.
“Kita sepatutnya berada di hadapan namun gagal menyempurnakan sepakan penalti. Ini bukanlah keputusan yang kita mahukan tetapi kita perlu berlapang dada.
“Selain terlepas penalti itu, jentera serangan kita juga serba tak menjadi apabila gagal temui sentuhan penyudah, beberapa hantaran di kawasan lawan juga tidak begitu tepat, ini yang perlu kita tambah baik pada perlawanan seterusnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE