PETALING JAYA – Harapan Selangor FC untuk meraih mata pada saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) tidak kesampaian selepas tewas kepada gergasi Singapura, Lion City Sailors (LCS) dengan keputusan 2-5 di Stadium Bishan, sebentar tadi.
Pada aksi Kumpulan G itu, kealpaan benteng pertahanan Gergasi Merah dihukum apabila Anderson Lopes mudah meledak gol pembukaan menerusi tandukan seawal minit ke-7.
Penyerang import The Sailors dari Brazil itu terus mempamerkan ketajaman apabila melebarkan kelebihan tuan rumah hasil gerakan menarik berselang enam minit kemudian.
Momentum Lion City Sailors direntap pada minit ke-31, perlawanan terpaksa ditangguhkan hampir dua jam ekoran hujan lebat.
Kesempatan itu digunakan oleh Gergasi Merah merapatkan jurang apabila perlawanan bersambung hasil penyudah Chrigor Moraes.
Tekanan yang diberikan oleh Selangor FC tidak dihiraukan oleh tuan apabila Lopes meledak jaringan hatrik pada pada penghujung babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, Lopes melengkapkan malam gemilang dengan menjaringkan gol keempat hasil serangan balas pantas selepas Selangor kehilangan bola di posisi tengah.
Kapten skuad Merah Kuning, Faisal Halim cuba menaikkan semula semangat rakan sepasukan dengan gol kedua pada minit ke-73 tetapi sudah cukup terlewat dengan keputusan 2-4 kekal hingga wisel penamat.
Keputusan itu menyaksikan Selangor kini menduduki tangga tercorot selepas turut tewas kepada Bangkok United 2-4 pada aksi pertama, bulan lalu. – KOSMO! ONLINE