PETALING JAYA – Subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah perlu diutamakan termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa sebagai langkah awal menambah baik Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya berbincang dengan Kementerian Pendidikan berhubung perkara itu.
“Selain itu, MPU yang disemak semula ini akan diperluas pelaksanaannya bukan sahaja di universiti awam dan swasta, tetapi juga di semua institut latihan di negara kita.
“Usul ini juga akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperkukuh kesedaran kebangsaan demi melahirkan generasi yang berilmu, berjiwa besar dan cintakan negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, beliau menerima pembentangan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berhubung cadangan semakan semula MPU, hari ini.
Menurut beliau, cadangan itu dirangka hasil libat urus bersama pelbagai pihak termasuk sarjana, universiti awam, Agensi Kelayakan Malaysia dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi.
Kata beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Pertahanan dan pihak-pihak lain turut terlibat dalam kajian keberkesanan serta hala tuju baharu pelaksanaan MPU tersebut.
“Saya menyambut baik usaha untuk menambah baik kandungan, bilangan dan pendekatan MPU agar lebih segar, relevan serta berkesan dalam membina nilai kenegaraan dan semangat patriotisme,” katanya. – KOSMO! ONLINE