JITRA – Pasangan suami isteri warga emas yang maut setelah motosikal mereka kemalangan dengan lori di Bulatan Jitra, di sini dalam perjalanan ke hospital untuk mengambil ubat salah seorang mereka.
Megat Yahya Megat Ahmad, 65, dan isterinya, Khoriyah Kassim, 60, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jarak kurang satu kilometer dari Hospital Jitra yang dituju mereka.
Adik kepada arwah Khoriyah, Naemah, 50, berkata, dia terkejut sebaik menerima berita yang kakak dan abang iparnya terbabit dalam kemalangan di bulatan berdekatan Hospital Jitra.
Katanya, ketika itu dia sedang mengajar di sebuah sekolah tidak jauh dari tempat kejadian dan bergegas ke Unit Forensik untuk melihat keadaan mereka.
“Kali terakhir saya bertemu arwah kakak, kira-kira dua hari lalu ketika saya menjemput dia dan abang ipar di rumah mereka di Kampung Kepala Batu untuk menghantar anak kedua mereka ke Stesen Bas Bandar Darulaman.
“Ketika itu kami menghantar anak lelaki mereka menaiki bas untuk menyambung latihan kerja di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Selangor. Arwah kakak mengadu tidak sihat sejak beberapa hari lalu dan dia hanya tinggal bersama abang ipar kerana tiga anak mereka bekerja dan tinggal jauh,” katanya.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banai, Wang Tepus selepas selesai urusan di hospital. – KOSMO! ONLINE