fbpx
Tangkap layar sekumpulan penunggang motosikal mengejar kereta Myvi di Puchong, awal pagi kelmarin.

Pura-pura ‘call’ polis punca Myvi kena tendang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUCHONG – Seorang pengawal keselamatan berdepan detik cemas apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya ditendang sekumpulan penunggang motosikal selepas berhenti di bahu jalan berhampiran Plaza Tol Puchong Batu 13, awal pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, pengadu lelaki berusia 52 tahun pada mulanya keluar dari kenderaan dengan tujuan berlakon seolah-olah mahu menghubungi polis menggunakan telefon.

“Namun, pengadu tidak membuat panggilan dan hanya berpura-pura seakan-akan ingin menelefon. Ketika itu, salah seorang daripada kumpulan penunggang motosikal terbabit bertanya kepada rakan pengadu sama ada mereka anggota polis.

“Bimbang keselamatan, mangsa terus masuk semula ke dalam keretanya dan beredar, namun kumpulan itu bertindak mengejar serta mengarahkan dia berhenti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat panik, mangsa tidak berhenti dan keretanya ditendang beberapa kali sehingga mengalami kerosakan.

Rakaman insiden itu tular di media sosial selepas dimuat naik berdurasi seminit yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal mengekori kereta mangsa secara berbahaya sebelum salah seorang daripadanya menendang kenderaan tersebut.

Susulan laporan polis yang dibuat pengadu, beliau berkata, polis menahan sembilan lelaki berusia antara 13 hingga 21 tahun di sekitar Puchong dan Shah Alam bagi membantu siasatan.

“Enam daripada suspek yang ditahan adalah bawah umur. Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan reman ke atas kesemua suspek selama empat hari sehingga Jumaat ini. Polis turut merampas tiga motosikal yang digunakan dalam kejadian itu,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 279 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh dan melulu di jalan awam serta melakukan khianat yang boleh membawa hukuman penjara dan denda.

Semalam, Kosmo! melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung insiden tular di media sosial yang memperlihatkan sekumpulan penunggang motosikal mengejar sebuah kereta Myvi di Batu 13 berhampiran Plaza Tol Puchong.

Muhamad Farid berkata, pengadu telah membuat laporan polis kira-kira pukul 4 pagi berhubung kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN