fbpx
Syed Redza (dua dari kiri) bersama Cheah (dua dari kanan) ketika Majlis Menandatangani MoU Pride bersama SPX Express di stesen LRT Lembah Subang, Petaling Jaya, hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

Pride, SPX Express sediakan loker layan diri di stesen LRT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penumpang sistem transit aliran ringan (LRT) kini mempunyai satu lagi kemudahan baharu apabila Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (Pride) bekerjasama dengan SPX Express memperkenalkan loker pengambilan sendiri di lima stesen terpilih sekitar Lembah Klang.

Inisiatif loker pintar ini membolehkan penumpang mengambil bungkusan mereka secara layan diri di stesen, sekali gus meningkatkan fleksibiliti urusan harian.

Ketua Pegawai Eksekutif Pride, Syed Redza Algadrie berkata, langkah itu sejajar dengan usaha menjadikan stesen LRT lebih daripada sekadar pusat transit.

“Kerjasama ini bukan sekadar menyediakan loker, ia tentang mengubah perjalanan penumpang dan meningkatkan keselesaan harian mereka.

“Kami mahu menjadikan stesen sebagai sebahagian daripada gaya hidup pintar, mesra pengguna dan memberi nilai tambah kepada penumpang,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pride bersama SPX Express di stesen LRT Lembah Subang di sini, hari ini.

Menurut Syed Redza, melihat kepada peningkatan rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam, pihaknya mahu memastikan setiap perjalanan bukan sahaja cekap, malah turut memberi nilai tambah melalui kemudahan mesra pengguna.

“Dengan adanya loker pengambilan sendiri, penumpang boleh mengurus bungkusan mengikut jadual mereka, sambil kita merapatkan dunia digital dan mobiliti harian,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan e-dagang kini menjadi sebahagian penting dalam kehidupan rakyat Malaysia, justeru penyediaan infrastruktur sokongan seperti loker di stesen Rapid KL mampu memudahkan urusan komuniti bandar.

Sementara itu, Ketua SPX Express, Cheah Lee Sun berkata, lebih 100 loker disediakan di setiap stesen LRT bagi memberi pilihan lebih mudah kepada pelanggan untuk menguruskan pembelian mengikut jadual masing-masing.

Jelasnya, buat permulaan loker pintar itu dipasang di lima stesen strategik iaitu LRT Lembah Subang, Taman Melati, Bangsar, Ampang Park di Laluan Kelana Jaya serta Stesen Sentul Timur di Laluan Ampang.

“Setiap loker dilengkapi sistem automasi, kawalan keselamatan menerusi televisyen litar tertutup 24 jam dan boleh diakses sepanjang waktu operasi stesen.

“Ruang simpanan pelbagai saiz, ia mampu menampung barangan kecil seperti produk penjagaan diri hingga bungkusan besar seperti peralatan elektrik kecil,” katanya.

Cheah berkata, inisiatif itu melengkapkan peranan stesen LRT sebagai hab gaya hidup yang semakin relevan dengan keperluan pengguna bandar.

“Kerjasama ini menunjukkan bagaimana teknologi boleh mendekati masyarakat secara praktikal, dan bagaimana inovasi mampu memberi kesan nyata dalam kehidupan seharian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI