PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penaung kepada inisiatif kemanusiaan Sumud Nusantara memantau rapat pelayaran konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar sentiasa memantau perkembangan aktivis kemanusiaan dari negara ini yang telah memasuki zon kuning dan berisiko berdepan ancaman Israel.
“Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan bersama seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong usaha kemanusiaan ini selaras dengan prinsip solidariti dan keadilan yang menjadi asas Malaysia Madani.
“Keberanian serta ketabahan para aktivis membawa misi amanah ini amat dihargai kerana ia mencerminkan jiwa rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap penderitaan saudara kita di Gaza,” katanya semasa taklimat harian Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri turut mendesak laluan kemasukan bantuan ke Gaza tidak dihalang mana-mana pihak kerana sebarang halangan menambah derita penduduk Palestin yang dalam keadaan kritikal.
Katanya, Perdana Menteri pada masa yang sama menyeru rakyat Malaysia terus bersatu hati mendoakan keselamatan serta menyalurkan sokongan berterusan kepada usaha kemanusiaan yang murni tersebut. – KOSMO! ONLINE