MUAR – Seorang pengait sawit mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol adik iparnya sejak awal tahun ini.
Tertuduh yang berusia 39 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa dua anak itu didakwa merogol adik iparnya yang berusia 13 tahun di sebuah rumah di Kluang, dekat sini pada pukul 1 pagi, Mac lalu.
Lelaki itu juga didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi lain pada pukul 12. 01 tengah malam, 31 Ogos lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, mahkamah bertanyakan kepada tertuduh sama ada mahu membuat rayuan untuk ikat jamin, namun lelaki itu menolak kerana tidak mempunyai wang. Tertuduh kemudian dibawa ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.
Mahkamah tidak menawarkan ikat jamin dan menetapkan 7 Oktober ini untuk fakta dan hukuman. – KOSMO! ONLINE