PETALING JAYA – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) sedang menjalankan penilaian teknikal terhadap kenderaan berat yang terlibat dalam kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang pada 27 September lalu.
Miros dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan dijalankan oleh Pasukan Siasatan Kemalangan termasuk pemeriksaan sistem brek, bagi mengenal pasti sama ada terdapat bukti kegagalan fungsi atau faktor lain sebagai punca utama kemalangan.
Menurut kenyataan, Miros juga bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.
“Kerjasama tersebut bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh. Penilaian ini adalah penting bagi memastikan punca sebenar dapat dikenal pasti dan langkah pencegahan berkesan dapat disusun,” katanya.
Miros berkata, data dari tahun 2011 hingga 2015 menunjukkan lebih 1,000 kemalangan maut melibatkan kenderaan berat berlaku setiap tahun, dengan lebih 80 peratus kematian membabitkan pengguna jalan raya yang lain.
Tambahnya, data Miros pada tahun 2022 pula mendapati hanya 31.9 peratus pengendali kenderaan awam dan perdagangan mematuhi Kod Amalan Industri untuk Keselamatan Pengangkutan.
“Tahap pematuhan lebih tinggi direkodkan oleh pengendali besar (93.6 peratus) berbanding syarikat kecil, dengan kategori bas ekspres (78 peratus) dan bas persiaran (71 peratus) menunjukkan prestasi pematuhan yang lebih baik berbanding lori (empat peratus),” katanya.
Miros turut menekankan bahawa penyelenggaraan kenderaan secara berkala adalah aspek kritikal dalam memastikan keselamatan pemanduan, terutamanya bagi kenderaan komersil yang membawa muatan berat.
“Pemandu serta pengusaha lori disarankan untuk sentiasa memeriksa sistem brek, tayar, dan komponen kritikal lain sebelum perjalanan.
“Selain itu pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik melalui penyelenggaraan berkala yang mengikut jadual selain memathui undang-undang jalan raya termasuk had laju, rehat secukupnya, dan elak pemanduan berisiko,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.
Akibat rempuhan kuat itu, seorang bayi kembar dikenali sebagai Husyan yang berusia 12 bulan maut di lokasi kejadian, manakala kembarnya, Hassan, terselamat selepas sempat didukung ibunya.- KOSMO! ONLINE