MANCHESTER – Pengurusan tertinggi Manchester United dilaporkan sudah tidak mampu lagi bersabar dengan prestasi buruk pasukan dan kini dikatakan sedang berkira-kira untuk memecat pengurus pasukan itu, Ruben Amorim.
Bagaimanapun, laporan-laporan di England mendakwa The Red Devils mahu menunggu sekurang-kurangnya hingga 1 November depan bagi mengurangkan jumlah pampasan yang perlu dibayar jika memecat Amorim.
Ketika ini, United disebut-sebut sedang menyenaraikan beberapa pengurus menggantikan tempat Amorim sekiranya kelab itu mengambil keputusan berpisah dengan mantan pengendali Sporting Lisbon berkenaan.
Bekas pengurus England, Gareth Southgate turut dilaporkan berada dalam senarai bersama pengendali Bournemouth, Andoni Iraola, Oliver Glasner (Crystal Palace) dan Graham Potter yang baru sahaja dipecat oleh West Ham United minggu lalu.
Situasi semasa Amorim masih lagi belum jelas memandangkan ada laporan yang mengatakan bahawa pengurus dari Portugal itu akan diberikan masa untuk melaksanakan projeknya.
Amorim sudah pun membawa masuk beberapa muka baharu termasuk trio serangan, Matheus Cunha, Benjamin Sesko dan Bryan Mbeumo
Rentetan itu, wujud juga laporan mengatakan Amorim akan mendapat sokongan penuh bagi meneruskan baki musim ini dan kelab juga juga menolak dakwaan sedang mengintai pengurus baharu. – AGENSI